Covid 19: Sports Ministry keeps close tabs of Athletes based overseas

KENYATAAN MEDIA

MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA

Semua 48 atlet-atlet Malaysia termasuk atlet profesional dan atlet-atlet di bawah Persatuan-Persatuan Sukan yang kini berada di luar negara berada dalam keadaan baik dan selamat.

Atlet-atlet Malaysia kini berada di 13 buah negara berlainan seperti Thailand (15 orang), Amerika Syarikat (12), Australia (7), Jerman (3), UK (2), Jepun (2), Kanada (1), Sweden (1), Perancis (1), Switzerland (1), Singapura (1), Chinese Taipei (1), dan Indonesia (1).

Daripada jumlah atlet tersebut, seramai 25 orang terlibat dalam Program Podium (Sukan Renang, Berbasikal, Olahraga, Muay Thai dan Golf) manakala 23 orang di luar Program Podium (Lawan Pedang, Hoki Ais, Bola Sepak, Luncur Ombak, Mendayung, Skating, Golf, Skate Board, dan Ragbi).

PERKEMBANGAN TERKINI ATLET-ATLET MALAYSIA DI

LUAR NEGARA

Antara sebab atlet-atlet tersebut masih berada di luar negara adalah:-

1) mengikuti pengajian tinggi / bersekolah (16 orang),

2) mewakili kelab luar negara sebagai atlet professional (9

orang),

3) mengikuti latihan atau pertandingan (15 orang),

4) bermastautin tetap (7 orang); ataupun

5) bercuti (1 orang).

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan-Persatuan Sukan masing-masing telahpun berhubung dengan atlet-atlet tersebut untuk mengetahui perkembangan dan keadaan mereka dan juga telah menasihati mereka agar mematuhi perintah dan arahan yang dikuatkuasakan di negara masing-masing.

Institut Sukan Negara (ISN) juga akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet Program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah atas talian serta menasihati para jurulatih dan atlet-atlet untuk membuat pengubahsuaian terhadap program latihan atlet untuk mengekalkan kecergasan, fokus serta motivasi mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

Walau bagaimanapun, keadaan wabak COVID-19 di luar negara mungkin berubah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan-Persatuan Sukan akan sentiasa memantau perkembangan dan keperluan dari

semasa ke semasa serta bersedia untuk membantu atlet-atlet Malaysia di luar negara untuk pulang ke Malaysia sekiranya keadaan memerlukan.

Di samping itu, atlet-atlet Malaysia mahupun atlet persendirian / persatuan dan keluarga mereka adalah dinasihatkan juga untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini dan juga sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.

Menteri Luar Negeri Malaysia juga telah menasihati agar rakyat Malaysia yang berada di 2 negara (Amerika Syarikat dan UK) untuk membuat perancangan awal untuk balik ke Malaysia sebelum 2 negara tersebut ‘lockdown’ dan semua penerbangan komersial mungkin diberhentikan.

YB DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA