Green light for NSC Athletes to train

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengelolakan Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo (RTT) bermula 1 hingga 30 Jun ini melibatkan 57 atlet untuk persiapan awal menghadapi Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo yang telah diubah ke tahun 2021.

Kelompok atlet elit negara ini telah memulakan latihan intensif di bawah kendalian jurulatih negara dengan mematuhi Standard Operating Prosedure (SOP) yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua latihan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar dan ini menyakinkan KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membuka ruang kepada semua atlet di bawah program Podium dan Pelapis Kebangsaan dari atlet elit dan atlit para untuk kembali meneruskan latihan di MSN.

YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 7 Jun yang lalu yang memberi lebih banyak kelonggaran kepada pelbagai sektor untuk beroperasi termasuk sektor sukan mulai 10 Jun.

Kelonggaran tersebut memberikan harapan kepada semua atlet negara yang inginkan latihan sepenuh masa dapat dimulakan seberapa segera bagi memastikan mereka dapat meneruskan program latihan yang telah dirancangkan sebelum ini.

Sehubungan dengan ini, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, telah bersetuju untuk MSN untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah Program RTT, Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan berperingkat bermula pada 5 Julai nanti dengan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

MSN dan ISN juga akan mematuhi SOP Am Pengurusan bagi memastikan keperluan logistik dan venue latihan serta khidmat sokongan sains dan perubatan sukan bersedia sepenuhnya bagi atlit-atlit negara memulakan latihan harian sepenuh masa.

Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih dari kalangan atlet elit di bawah program RTT, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan harian secara sepenuh masa di semua pusat latihan yang ditetapkan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, ABM Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN Langkawi.

Sementara itu, atlet para pula seramai 135 atlet dan 31 jurulatih dari program RTT dan Podium akan diminta untuk melaporkan diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampong Pandan pada 5 Julai ini untuk memulakan latihan sepenuh masa.

Menteri Belia dan Sukan juga telah mengarahkan pihak MSN dan ISN bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan barisan jurulatih negara untuk mengkaji semula program latihan yang telah dirangka sebelum ini bagi menyesuaikannya dengan perkembangan sukan masa kini yang telah banyak terkesan dan mengalami pelbagai perubahan kesan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Walaupun pihak Kerajaan telah memberi kelonggaran dan ruang yang agak luas kepada semua untuk menjalani latihan dan bergiat aktif semula dalam bidang sukan dan rekreasi, namun pihak Kementerian ingin mengingatkan dan menegaskan semua pihak terutama barisan jurulatih, atlet dan pegawai sukan untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan jangkitan virus