ILLEAGAL CHAIRMAN

Kelantan mendakwa pelantikan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan selama ini adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ab Fattah Mahmood berkata antara peruntukan itu, Kementerian Belia dan Sukan perlu berbincang dengan Menteri Besar Kelantan terlebih dahulu sebelum melantik Pengerusi MSN itu.

“Kementerian Belia dan Sukan melalui menteri perlu mengadakan perbincangan untuk melantik pengerusi (MSN) tetapi kementerian tidak pernah berbuat demikan (mengadakan perbincangan).

“…dan dengan itu saya boleh katakan pengerusi yang dilantik ini adalah pengerusi haram (tidak sah) kerana ketidakpatuhan perkara ini,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Limbongan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pengerusi MSN Kelantan ketika ini adalah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Ketua Umno Bahagian Machang.

Ab Fattah berkata bagaimanapun kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk memilih dan melantik Pengarah MSN kerana terpulang pada pihak kementerian dan MSN sendiri.

Sementara itu beliau meminta agar semua pihak tidak mempolitikkan industri sukan negeri ini kerana ia tidak memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Tidak benar dakwaan kerajaan tidak menepati janji untuk diberikan kepada MSN terutamanya dalam membangunkan sukan negeri ini,” katanya.