India, Britain enggan ambil risiko

Secara matematiknya, pertembungan India menentang Great Britain, esok hanya perlu berkesudahan seri bagi membolehkan kedua-dua pasukan layak ke final saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi sembilan mata di kedudukan dua teratas liga.

Bagaimanapun, baik India mahupun Britain masing-masing enggan mengambil risiko ketika Jepun masih berpeluang memintas jika menang ke atas Malaysia, esok.

Jurulatih India, B J Kariappa menegaskan dia tetap akan menurunkan barisan terkuat dengan fokus utama adalah bagi memastikan slot final tidak terlepas daripada genggaman mereka.

“Walaupun kelebihan memihak kepada kami (untuk mara ke final) tetapi saya lebih suka untuk fokus satu demi satu perlawanan. Ketika ini fokus adalah bagi berdepan Britain untuk aksi terakhir liga.

“Kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini. Saya percaya Britain juga akan melakukan perkara yang sama terutama selepas mereka tewas kepada Malaysia (0-1).

“Sebab itu, saya mahu pemain kekal fokus bagi menamatkan saingan liga terlebih dahulu sebelum memikirkan aksi final,” kata Kariappa.

Sementara itu, jurulatih Britain, Jon Bleby berkata dia mahu barisan pemainnya bangkit bagi menebus kekecewaan selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada Malaysia semalam.

“Kami tidak bermain dengan baik ketika menentang Malaysia. Jadi, kami perlu perbaikinya apabila bertemu India dan ia perlawanan yang penting sama ada kami layak atau tidak ke final.

“Walaupun kami hanya memerlukan satu mata tetapi kami tidak mahu mengambil risiko.

“India sebuah pasukan yang kuat dan kami sudah banyak kali bertemu mereka sebelum ini. Saya mahu pemain menunjukkan kebangkitan dalam perlawanan ini,” katanya.

Sekiranya India dan Britain mara ke final, salah satu daripada mereka akan menjadi pasukan pertama muncul juara SOJC sebanyak tiga kali.

India dua kali menjuarai saingan SOJC iaitu pada 2013 dan 2014 manakala Britain turut berkongsi rekod sama selepas muncul juara pada edisi 2015 dan 2018.