Nur Saiful cari formula berbeza

Jurulatih Malaysia, Nur Saiful Zaini Nasiruddin memerlukan formula berbeza bagi mengatasi Jepun dalam aksi terakhir liga saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019, esok

Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan.

Malaysia memerlukan tiga mata bagi layak beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Jepun mengintai peluang untuk mara ke pentas final buat kali pertama.

“Pertemuan dengan Jepun akan menjadi perlawanan yang berbeza. Jepun sebuah pasukan yang gemar melakukan serangan, pemain mereka juga memiliki kemahiran individu yang tinggi.

“Jadi, kita perlu tahu cara terbaik bagi bermain dengan mereka. Kita perlu perancangan rapi, jika tidak ia akan menghadirkan masalah buat kita.

“Bagaimana cara kita bertahan dalam perlawanan itu akan menjadi hala tuju buat kita. Saya akan manfaatkan tempoh rehat esok (hari ini) sebaiknya dan mencari cara terbaik bagi menentang Jepun,” kata Nur Saiful.

Sementara itu, jurulatih Jepun, Kyoichi Nagaya optimis skuad kendaliannya mampu mencatat kemenangan ke atas Malaysia tetapi dalam masa sama mengingatkan anak buahnya untuk berwaspada.

“Pertemuan dengan Malaysia sangat penting untuk kami, ini adalah peluang kami untuk cuba layak ke final buat kali pertama. Jadi, kami perlu kekal fokus.

“Malaysia pasukan yang bagus kerana berjaya menewaskan Great Britain. Jadi, kami perlu berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan mudah,” katanya.