Profile of Mandeep Mor, 20; India

“Mandeep mahu ikut jejak abang Pardeep beraksi di pentas Olimpik”

JOHOR BAHRU: Kehebatan abang dalam sukan hoki menjadi daya penarik buat Mandeep Mor, 20, memilih sukan ini sebagai kerjaya profesional.

Pemain pertahanan yang menjadi kapten skuad bawah 21 tahun India itu berkata, dia selalu mengikut abangnya Pardeep Mor, 27, menjalani latihan sehingga timbul minat dan menjadikan hoki sebagai kerjaya.

“Daripada minat, lama-kelamaan saya menjadi pemain profesional,” katanya.

Lahir dalam keluarga kecil, hanya dua beradik bersama abangnya Pardeep, hubungan mereka amat rapat.

Katanya, keazaman untuk mencipta nama dalam sukan hoki lebih membuak-buak apabila abangnya terpilih mewakili India di Sukan Olimpik Rio.

Berpengalaman bersama skuad senior India, pemilihan Mandeep Mor sebagai kapten pasukan remaja bawah 21 tahun ke Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) kali ini menepati ciri kepemimpinan pasukan.

Malah, Mandeep yang turut menjadi kapten kepada pasukan yang tewas kepada Great Britain pada final SOJC tahun lalu, pastinya mempunyai kesumat untuk dilangsaikan di Stadium Hokit Taman Daya, kali ini.

“Ketika pasukan yakin meraih gelaran tahun lalu, kami dikecewakan dua kali oleh Great Britain 3-2 pada final dan juga pusingan awal. Banyak yang saya pelajari dari kekalahan itu, ditambah pula kekecewaan kami pada aksi jemputan lapan negara di Sepanyol Jun lalu.

“Seperti tahun lalu, pasukan kali ini lengkap dan kami menjalani latihan dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan remaja yang kehilangan jurulatih Jude Felix yang dipecat susulan prestasi hambar skuad itu pada Kejohanan 8 Negara di Madrid, Sepanyol, Jun lalu, Mandeep berkata, sebagai kapten dia perlu memastikan pasukan kekal bersatu.

Katanya, tiada apa yang baharu dalam skuad India berikutan jurulatih ketika ini BJ Kariappa adalah sebahagian daripada pasukan apabila menjadi pengurus pasukan ke Sepanyol.

Menurutnya, Kariappa melakukan penstrukturan semula pasukan dan merancang kejohanan bagi setiap pemain.

-tamat-