Sabah juara Divisyen 1 Piala KPN

KENYATAAN MEDIA – PIALA KETUA POLIS NEGARA

DIVISYEN 1

SABAH JUARA DIVISYEN 1 PIALA KPN

KUANTAN: Sabah berada pada kelas tersendiri apabila muncul juara saingan hoki Divisyen 1 Piala Ketua Polis Negara (KPN) dengan menewaskan Terengganu 2-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, hari ini.

Pemenang perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar.

Kejayaan pertama Sabah yang membuat penampilan pertama selepas 22 tahun hadir apabila pasukan itu mara ke separuh akhir sebelum menyalakan impian bagi muncul juara.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah layak beraksi dalam saingan Divisyen Perdana tahun depan bersama manakalaTerengganu kekal dalam Divisyen 1.

“Ini adalah detik indah buat kami,” kata pengurus Sabah, Supt Nor Azizulkifli Mansor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli pasukan kerana memberikan yang terbaik dalam perlawanan akhir. Ia perlawanan yang mendebarkan, syukur kami berjaya memenangi penentuan penalti.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada pegawai atasan di atas sokongan yang diberikan. Mereka sentiasa memberi sokongan dan kini kami sudah menjadi juara, kami ada tugas yang lebih besar dalam saingan Divisyen Perdana musim depan.”

Mohd Firdaus Abdul Ghani meletakkan Sabah di depan menerusi jaringannya daripada pukulan sudut penalti minit ke-23 tetapi Terengganu menyamakan kedudukan pada lewat perlawanan menerusi Mohd Ashraf Abdul Halim, juga hasil pukulan sudut penalti.

Norhashim Ahmad dan Mohamed Ismail masing-masing berjaya menyempurnakn penalti buat Sabah manakala hanya Ashraf yang menyudahkan untuk Terengganu.

“Kami sangat kecewa dengan kekalahan ini tetapi kami terima hakikat ini. Ia aksi final yang hebat tetapi misi kami untuk layak ke Divisyen Perdana gagal,” kata pengurus Terengganu, Sarjan Othman Awang.

Sementara itu, Briged Tenggara menamatkan saingan Divisyen 1 di tempat ketiga selepas menewaskan Briged Utara 3-0.

Tiga gol itu dijaringkan oleh Mohd Khairul Anuar pada minit ke-43 dab 56 selain Ahmad Nazri Senin minit ke-55.