SUKOM 13 YEARS ON

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Walaupun England, Australia dan India telah menganjurkan Sukan Komanwel selepas giliran Malaysia pada 1998, akaun penganjur temasya sukan terbesar pernah dianjurkan di negara ini, iaitu Sukom Ninety Eight Berhad (SUKOM 98), hanya akan ditutup secara rasmi pada Oktober tahun depan.

Pengerusi Eksekutif SUKOM 98, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf berkata, syarikat tersebut yang ditubuhkan bagi mengendali Sukan Komanwel di ibu negara pada 1998, telah melantik sebuah syarikat pembubar, Deloitte Kassim Chan, pada awal bulan ini untuk menyelesaikan penutupan akaun itu.

Ketika ditanya kenapa SUKOM 98 memerlukan masa sehingga 13 tahun untuk dibubarkan, Nik Mahmud berkata, antara penghalang utama ialah kes tuntutan di mahkamah, akaun yang belum selesai serta masa yang diperlukan untuk mengutip dan menjelaskan hutang.

“Deloitte Kassim Chan bertanggungjawab untuk menutup akaun SUKOM 98, termasuk menyelesaikan semua kes tuntutan di mahkamah,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya di Bukit Jalil.