Why the points were deducted

PEMOTONGAN MATA PASUKAN DAN HUKUMAN LAIN BAGI KEGAGALAN MELENGKAPKAN PROSES PENDAFTARAN LIGA MALAYSIA 
Susulan daripada isu pengesahan penyertaan pasukan dalam pertandingan Liga Super dan Liga Premier 2017 yang diberikan tarikh akhir pada 31 Disember 2016, Football Malaysia LLP (FMLLP) telah menghantar surat peringatan pertama pada 27 Januari 2017. Selain itu, pihak FMLLP telah menghubungi pasukan melalui telefon sebagai peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran. 

Pada 7 Mac 2017, surat peringatan kedua telah dihantar dan pihak FMLLP sekali lagi telah menghubungi pasukan-pasukan melalui telefon untuk memberi peringatan untuk melengkapkan proses pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017. 

Pasukan harus memuatnaik Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP, Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso dan Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN ke sistem SPMB untuk melengkapkan pendaftaran pasukan. Surat-surat selesai bayaran/tunggakan adalah untuk bayaran/tunggakan dari tahun- tahun sebelum tahun 2017. 

Oleh kerana kegagalan melengkapkan proses pendaftaran, pemotongan 6 mata perlawanan akan dikenakan kepada pasukan dan berkuatkuasa dengan serta-merta. Pasukan tersebut adalah : 

* a)  Liga Super 2017: Kelantan FA & T-Team FC

* b)  Liga Premier 2017: ATM FA & Perlis FA

Untuk makluman juga, jika pasukan-pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sebelum 15 Mei 2017, maka pasukan tersebut akan dilarang daripada mendaftar pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya. Namun begitu, pasukan-pasukan hanya boleh mendaftar pemain baharu jika pasukan-pasukan memperolehi pendapatan hasil dari pengurangan jumlah pemain yang sediada dalam pasukan di mana jumlah yang boleh dibelanjakan untuk menandatangani pemain baharu adalah bersamaan dengan jumlah yang diperolehi hasil dari transaksi perpindahan mana-mana pemain serta jumlah yang dijimatkan hasil dari pengurangan jumlah pemain keseluruhan. 

Tambahan lagi, jika pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan pasukan tersebut ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018. 

Kegagalan pasukan tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran sebelum permulaan musim 2018 boleh menyebabkan penyertaan pasukan tersebut dibatalkan untuk musim 2018. 

Tindakan-tindakan di atas boleh diambil oleh FMLLP melalui peruntukkan kuasa yang sedia ada di bawah PERKARA 43, PERATURAN PERTANDINGAN, MANUAL LIGA MALAYSIA 2017:- 

43. PEMATUHAN PERATURAN 

43.1 Peraturan ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh Pasukan, Pegawai dan Pemain. Kejujuran dan keikhlasan untuk mematuhi semua Peraturan FMLLP di dalam pengelolaan dan pengurusan Liga adalah menjadi tanggungjawab kepada Pasukan, Pegawai dan Pemain. 

43.2 Mana-mana Pasukan, Pegawai atau Pemain yang mengingkari mana-mana Perkara, di dalam Peraturan Pertandingan Liga-M boleh dikenakan tindakan atau tindakan-tindakan atau hukuman-hukuman seperti berikut: 

* a)  Pasukan boleh digantung untuk beberapa Perlawanan atau musim atau musim-musim berikutnya.

* b)  Mata minimum Pasukan sebanyak 3 mata boleh dipotong untuk Perlawanan Pasukan.

* c)  Sebarang hukuman atau denda yang dikenakan hendaklah dijelaskan dalam masa 
tempoh 7 hari waktu bekerja.

* d)  Apa-apa tindakan yang ditentukan oleh FMLLP dan dibenarkan oleh Kongres dan / 
atau Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.

* e)  Apa-apa tindakan tatatertib yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

———–
Dikeluarkan oleh Unit Media Football Malaysia LLP