DS Megat fires salvo, Let’s go all the way to seek justice

Below is a press statement by Dato Seri Megat. D Shariman today after being notified on November 4 on his 18 months ban

Read carefully – was he banned a further 18 months as he was suspended from carrying out his duties since September.

Double jeopardy, go figure !

Merujuk kepada kenyataan media oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bertarikh 4 November 2020 yang menyatakan keputusan Lembaga Eksekutif untuk menggantung saya selama 18 bulan berkuatkuasa serta-merta setelah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib KHM kerana melanggar Klausa 6 (MHL Tournament Code of Conduct 2020).

Saya mengambil maklum terhadap keputusan tersebut dan saya bersedia untuk mempertahankan tindakan saya apabila menuntut pembayaran hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020 yang sewajarnya menjadi tanggungjawab saya sebagai pemilik Hockademy. Saya akan menggunakan segala prosedur dan saluran yang betul selaras dengan Klausa-klausa yang terdapat di dalam Perlembagaan KHM dan saya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini sehingga ke peringkat Judicial Commission Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH) dan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) selaras dengan Klausa 47 dan 48 Perlembagaan KHM.

Berkaitan dengan hukuman dan prosedur tatatertib yang dikenakan terhadap saya jelas menunjukkan sesuatu yang sangat pelik dan aneh serta menimbulkan pelbagai persoalan berdasarkan fakta-fakta seperti berikut:-

a) Berdasarkan kepada Klausa 3 (iv) MHL Tournament Code of Conduct 2020 secara jelas menyatakan bahawa sebarang tindakan tatatertib yang diambil selepas tamatnya kejohanan hendaklah dimulakan oleh Setiausaha Agung KHM. Sedangkan berdasarkan kepada Perlembagaan KHM tiada sebarang jawatan Setiausaha Agung yang dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan KHM;

b) Klausa 6 (i) dan (ii) MHL Tournament Code of Conduct 2020 pula secara jelas menyatakan bahawa ianya hanya akan menjadi satu kesalahan sekiranya kenyataan media saya merupakan serangan peribadi (personal attack) terhadap mana-mana individu atau pentadbiran KHM. Umum mengetahui bahawa kenyataan media yang dinyatakan oleh saya hanyalah berkaitan dengan tuntutan pembayaran hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020 kepada KHM tanpa melibatkan apa-apa serangan peribadi terhadap mana- mana individu mahupun pentadbiran KHM. Saya hanya bertindak untuk membuat kenyataan media setelah KHM gagal untuk menjawab surat rasmi saya kepada KHM bertarikh 15 April 2020 dan 27 Mei 2020 berkaitan dengan status pembayaran duit kemenangan Liga Hoki Malaysia 2020;

c) Merujuk kepada pertuduhan yang dikenakan terhadap saya antara lainnya adalah berkaitan dengan tindakan saya menulis surat kepada penaja-penaja Liga Hoki Malaysia 2020 iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Qnet (M) Sdn. Bhd. (Qnet) bertarikh 1 Jun 2020 untuk mendapatkan kepastian sama ada KHM telah menerima wang penajaan daripada penaja-penaja untuk mengetahui status sebenar hadiah kemenangan setelah tidak menerima apa-apa jawapan rasmi daripada pihak KHM selepas hampir 4 bulan tamatnya kejohanan tersebut. Berdasarkan kepada Klausa 6 (ii) MHL Tournament Code of Conduct 2020 jelas menunjukkan bahawa surat tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai kenyataan awam (Public Statement) kerana surat tersebut telah dihantar khusus kepada penaja-penaja dan bukannya hebahan kepada orang awam;

d) Semasa prosiding Jawatankuasa Tatatertib KHM berlangsung pada 19 September 2020, peguam-peguam yang dilantik untuk mewakili saya di dalam prosiding tersebut telah dihalang untuk berhujah bagi pihak saya. Ianya jelas bertentangan dengan prinsip Natural Justice dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia;

e) Saya juga sebenarnya telahpun digantung oleh Lembaga Eksekutif KHM bermula dari 7 September 2020 iaitu sebelum tarikh pendengaran prosiding Jawatankuasa Tatatertib KHM yang berlangsung pada 19 September 2020. Ini juga secara jelas menunjukkan bahawa keputusan Jawatankuasa Tatatertib KHM sudah boleh dijangka;

f) Keputusan Jawatankuasa Tatatertib KHM terhadap saya juga telah dibuat tanpa dibekalkan dengan apa-apa alasan keputusan yang sewajarnya diserahkan kepada saya setelah keputusan dibuat bagi membolehkan saya membuat rayuan sewajarnya untuk mempertahankan diri saya terhadap hukuman yang dikenakan terhadap saya. Peguam saya telahpun menghantar surat kepada Jawatankuasa Tatatertib KHM bertarikh 15 Oktober 2020 untuk mendapatkan keputusan dan juga alasan keputusan tersebut. Namun, pada 4 November 2020 pihak KHM hanya memaklumkan keputusan penggantungan saya tanpa membekalkan alasan keputusan yang dibuat walaupun telah diminta secara rasmi; dan

g) Terdapat beberapa lagi kejanggalan terhadap hukuman dan prosedur tatatertib yang dikenakan terhadap saya yang mana saya dan peguam-peguam saya akan berhujah secara lanjut semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Rayuan KHM sehingga ke peringkat FIH dan CAS kelak.

Apa pun hukuman yang dikenakan terhadap saya tidak akan mematahkan semangat dan cinta saya terhadap sukan Hoki demi memajukan sukan Hoki negara secara profesional dan berintegriti tinggi.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SRI MEGAT D. SHAHRIMAN ZAHARUDIN