Pulapol juara piala KPN

KENYATAAN MEDIA – PIALA KETUA POLIS NEGARA

DiVISYEN PERDANA

PULAPOL KL JUARA DIVISYEN PERDANA

KUANTAN: Pulapol Kuala Lumpur melakar kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Bukit Aman bagi menjuarai saingan hoki Divisyen Perdana Piala Ketua Polis Negara buat kali kedua di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, hari ini.

Kali pertama Pulapol KL merekodkan gelaran juara adalah pada edisi 2016 apabila pasukan itu menewaskan Bukit Aman 7-2 di venue yang sama.

Aksi final hari ini turut disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafaf Rajab selain Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Komander Briged Tenggara, SAC Datuk Roslan Bek Ahmad, Timbalan Pengarah E1 (M) dan convenor hoki Polis Diraja Malaysia, DCP Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Smarts Trends International, Datuk De Emmanuel Benson.

Aksi final hari ini berlangsung pantas apabila kedua-dua pasukan menunjukkan karakter dengan Pulapol KL dan Bukit Aman diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan dan negeri yang beraksi dalam Piala Razak.

Bagaimanapun, Bukit Aman lebih cepat menyesuaikan diri dengan tekanan apabila membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Megat Azrafiq Megat Termizi seawal minit ke-5.

Pulapol KL yang diketuai kapten, Baljit Sigh menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi Dick Cheny Wail.

Baljit muncul wira Pulapol KL apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu pada minit ke-50 menerusi pukulan sudut penalti.

Bukit Aman cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan tetapi kecemerlangan penjaga gol Pulapol KL, Muhammad Syair Mohd Syhalmiuda memusnahkan impian pasukan itu.

Sementara itu, Selangor yang tewas di tangan Bukit Aman dalam aksi separuh akhir menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Johor 4-3 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.